Rabu, 19 September 2012

Maxis perkenal aplikasi ebooks

PERKHIDMATAN buku elektronik atau e-buku memang telah diaplikasikan oleh kebanyakan pengguna teknologi di negara ini.

Namun, pelaksanaannya masih belum diperluas secara menyeluruh merangkumi sokongan pelbagai jenis peranti dan tawaran bahan-bahan bacaan yang bersesuaian.

Membuka peluang itu, syarikat penyedia rangkaian telekomunikasi bersepadu, Maxis Berhad (Maxis) baru-baru ini tampil bersama servis buku digital pertama Malaysia dikenali sebagai Maxis ebooks.

Aplikasi berkenaan boleh diakses melalui platform sistem operasi Android dan iOS seperti komputer tablet iPad atau Samsung Galaxy Tab.

Menerusinya, pelangggan talian Maxis kini mempunyai akses kepada lebih 300,000 judul buku pelbagai genre tempatan dan antarabangsa daripada 40 kategori.

Ia merangkumi kategori jualan terbaik, novel, motivasi, pendidikan dan gaya hidup selain pilihan medium penyampaian dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan pelbagai bahasa antarabangsa lain.

Menurut Naib Presiden dan Ketua Produk, Peranti, Inovasi dan Perantauan Maxis, T. Kugan, pelancaran aplikasi itu bakal memberi pengguna pengalaman menyemak, membeli dan membaca buku kegemaran secara mudah menerusi peranti mobiliti.

''Maxis ebooks bakal membenarkan pengguna membina perpustakaan digital mereka sendiri kerana kesemua bahan bacaan yang telah di muat turun akan disimpan pada storan cloud dan boleh dicapai menerusi integrasi sehingga enam peranti.

''Dengan adanya platform ini juga, ia secara tidak langsung dapat menggalakkan lebih ramai penerbit serta penulis buku menaiktaraf kandungan bahan bacaan mereka secara digital,'' katanya pada sesi pengenalan aplikasi itu kepada media di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sesuatu yang menarik, Maxis ebooks hadir bersama antara muka mesra pengguna selain mempunyai pelbagai ciri tambahan seperti kamus, penanda buku, fungsi nota serta pilihan tema bacaan untuk siang dan malam.

Daripada segi kos, kesemua buku dijual pada harga bermula RM8 hingga RM99 dan akan dicaj pada bil Maxis atau pun didebitkan daripada akaun Hotlink bagi pengguna pra bayar.

Pelanggan yang ingin mendapatkan aplikasi berkenaan boleh memuat turunnya daripada platform Apple App Store, Google Play atau layari laman web www.ebuuk.com.my. Pendaftaran Maxis ebooks adalah percuma.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...