Rabu, 13 Jun 2012

iOS6 mula diperkenalkan


PEMBUKA...CEO baru, Tim Cook memberi ucaptama.

KONGRES Pembangun Sedunia (WWDC) yang dianjurkan vendor elektronik terkemuka, Apple bermula pagi kelmarin dengan beberapa pengumuman mengejutkan berkaitan masa depan syarikat itu.

Ia pertama kali dianjurkan tanpa pengasas dan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Steve Jobs yang meninggal dunia Oktober tahun lalu.


MACBOOK PRO...lebih berkualiti tinggi.

Beberapa spekulasi membabitkan WWDC 2012 ternyata benar-benar berlaku seperti barisan baru Mac iaitu Macbook, Macbook Pro dan iMac mula diperkenalkan.

Selain itu, penyepaduan laman sosial popular, facebook dan iOS turut menjadi kenyataan selepas Apple melakukan gabungan hampir sama tahun lalu dengan twitter.


Kali ini, fungsi Siri juga disediakan untuk iPad di samping penambahbaikan iCloud yang semuanya direaliasikan menerusi iOS baru versi keenam.


OS X 10.8 Mountain Lion khusus untuk Mac juga tersedia dengan beberapa ciri baru yang cukup mengujakan dan dijual pada harga murah iaitu hanya RM60.


Macbook Air

Tidak, kita tidak mendapatkan paparan Retina pada Macbook Air seperti yang ramai antara kita harapkan, tetapi Apple merangsangkan nafsu membeli laptop nipis terbabit dengan beberapa ciri baru termasuk pemprosesan Ivy Bridge.

Selain itu, terdapat sepasang port USB 3.0 dengan pilihan untuk menggandakan kapasiti setoran flash menerusi SSD 512GB.

Tidak dilupakan, penambahan 8GB RAM 1600MHz DDR3L dan penyambungan baru Apple iaitu MagSafe 2.

Model asas iaitu 11 inci berharga kira-kira RM2,999 manakala saiz 13 inci pada harga RM3,599 iaitu diturunkan sehingga RM300.


Macbook Pro

Ia perubahan paling menonjol sejak Macbook dicipta dengan penetapan paparan Retina dengan dikemas kini kepada pemprosesan Ivy Bridge 2.7GHz dan grafik GeForce GT 650M yang menarik.

Lebih mengejutkan, Apple melengkapkan laptop ini dengan paparan beresolusi paling tinggi di dunia iaitu 2880 x 1800 piksel 220ppi pada skrin 15.4-inci menjadikan antara laptop yang perlu dimiliki pengguna.

Malah, Macbook Pro baru ini mempunyai tahap kenipisan membanggakan apabila menyerlahkan saiz 0.71 inci pada rekaannya sekali gus menghilangkan gelisah pengguna yang beranggapan ia terlalu tebal untuk dibawa.

Ketua Pemasaran Apple, Phil Shiller ketika menjelaskan mengenai Macbook Pro baru berkata, ia paparan tertinggi untuk resolusi mana-mana laptop di dunia yang hebat.

“Tidak lama lagi, ia akan menjadi LCD kepada mana-mana rumah yang menawarkan tiga juta piksel berbanding HDTV 1080p anda,” katanya.


OS X Mountain Lion

Apabila bercakap mengenai OS X Mountain Lion (ML) mereka, Apple memaklumkan syarikat itu sudah menjual lebih 26 juta salinan perisian Lion OS sebelum ini berbanding 66 juta pengguna desktop Mac sedia ada.

Angka terbabit tujuh kali lebih tinggi berbanding jualan pada tahun 2007 syarikat terbabit.

ML memperkenalkan lebih 200 ciri inovatif termasuk semua app Message baru, Notification Center, Sharing, penyepaduan facebook, Dictation, Power Nap, AirPlay Mirroring, Game Center dan Gatekeeper

“Kepantasan inovasi pada Mac sangat menakjubkan, OS X Mountain Lion datang hanya setahun selepas pelancaran Lion yang sangat berjaya,” kata Schiller. Menggunakan akaun iCloud anda, ML menjadikannya lebih mudah untuk membuka ciri mail, contacts, kalendar, mesej, reminder dan notes pada satu kesepaduan.

Aplikasi reminder dan notes membantu anda ingat tugas penting dan mencatat fikiran anda dengan cepat manakala iCloud secara automatik menyimpan segala-galanya sehingga tarikh terbabit tiba. Sementara itu, app mesej baru menggantikan iChat dan membawa iMessage ke Mac, jadi anda boleh menghantar mesej kepada sesiapa yang mempunyai iPhone, iPad, iPod Touch atau Mac lain.

Anda boleh memasukkan lampiran, foto berkualiti tinggi dan video HD dan iMessages anda muncul pada semua peranti.

ML juga memperkemaskan penyampaian Notification Center apabila membenarkan anda melihat semua notifikasi anda dari OS X dan aplikasi pihak ketiga dalam satu platform yang mudah. Di samping itu, ML juga memperkenalkan Power Nap, satu ciri baru yang inovatif mengemas kini maklumat untuk semua notebook.

Ia secara automatik akan mengemaskini e-mel, kenalan, kalendar, notifikasi, notes, stream foto, Find My Mac dan dokumen dalam cloud. Manakala revolusi Gatekeeper membenarkan pindah turun perisian selamat dari Internet dengan memberi anda kawalan automatik.


IOS 6

iOS 6, versi seterusnya untuk platform mudah alih Apple mencuri tumpuan dengan beberapa kemaskin baru yang nampak canggih.

Antaranya, Apple akan menyepadukan facebook ke iOS, serupa dengan apa yang Apple lakukan pada twitter tahun lalu. Ia membenarkan anda untuk berkongsi gambar, pautan, dan kandungan lain ke facebook dengan hanya beberapa klik berbanding mendaftar masuk dan keluar app facebook iOS yang leceh.

Penyepaduan facebook juga membuatkannya lebih mudah untuk mendaftar masuk ke aplikasi lain dalam iOS dan perkhidmatan web dengan hanya menggunakan ID facebook anda. Pengguna iPad Apple juga tidak lama lagi mungkin dapat bercakap dengan tablet mereka dengan cara yang sama mereka lakukan pada iPhone 4s.

Antara pendedahan hangat juga termasuk kesediaan Apple sendiri mengeluarkan peta dan tidak bergantung kepada Google Maps semata-mata.

Aplikasi peta baru dijangka melakukan penampilan sulung pada hari ini di WWDC iaitu ketika pertengahan kongres.

Menurut The Wall Street Journal, Apple pada tahun kebelakangan ini bergabung dengan beberapa syarikat pemetaan termasuk Placebase, C3 Technologies dan Poly9 yang mencetuskan desas-desus terbabit.

Setakat ini, 365 juta produk iOS berada di pasaran manakala Apple mendedahkan lebih 80 peratus peranti iOS menggunakan kemaskini OS terkini berbanding hanya tujuh peratus menggunakan OS terkini Android.

Ciri Eyes Free juga diperkenalkan pada sokongan iOS 6 bermakna fungsi Siri boleh diperluaskan dalam kenderaan seperti memberi arahan tertentu.

Setakat ini, hanya beberapa model bersetuju untuk melengkapkan teknologi terbabit dalam kenderaan mereka pada masa depan termasuk BMW, GM, Land Rover, Audi dan Honda.

Aplikasi PassBook pada iOS 6 juga menarik dengan kemudahan menyimpan tiket penting seperti tiket wayang, kad diskaun, tiket kapal terbang dan sebagainya dalam satu poket digital.

Tidak dilupakan, mod ‘Lost Mode’ pada iOS yang menghantar nombor telefon dan notifikasi nombor terbabit akan muncul di skrin jika telefon anda hilang.

Sekiranya, individu menjumpai telefon terbabit, mereka hanya perlu mendail nombor yang sudah sedia terpampang di skrin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...