Khamis, 14 Jun 2012

Belanda terkeluar, Jerman hampir ke suku akhir


Naib Juara Piala Dunia 2010 Belanda gagal meneruskan cabaran ke peringkat suku akhir apabila tewas bagi kali kedua dalam perlawanan kumpulan B bertemu Jerman awal pagi ini.

Pasukan bimbingan Bert Van Marwijk itu tewas 2-1 di Stadium Medalist, Kharkhiv, Ukraine yang menyaksikan kedua-dua pasukan memaparkan serangan dan gerakan menarik dan penuh dramatik.

Dengan kekalahan tersebut, skuad 'The Oranje' menjadi pasukan pertama terkeluar dalam saingan peringkat kumpulan, apabila gagal mengutip sebarang mata selepas dua perlawanan.

Perlawanan mereka menentang Portugal pada 18 Jun ini sekadar melengkapkan jadual perlawanan kumpulan itu. Jika menang sekalipun, ia tidak membawa sebarang makna. Manakala Portugal pasti bertungkus lumus untuk memenangi perlawanan untuk merebut satu lagi tempat ke pusingan seterusnya.

Portugal mengutip tiga mata, selepas menang ke atas Denmark dengan jaringan 3-2 dalam perlawanan sebelum itu.

Gol Jerman dalam perlawanan awal pagi ini, disumbat penyerang sensasi dan tinggi lampai, Mario Gomez pada minit ke-24 dan 38 separuh masa pertama.

Kedua-dua gol tersebut hasil lorongan pemain tengahnya Bastian Schweinsteiger ke kotak penalti untuk membolehkan Mario Gomez melakukan penyudah, menewaskan penjaga gol Belanda, Maarten Stekelenburg.

Gerakan tersebut memperlihat kerapuhan benteng pertahanan Belanda yang diketuai John Heitinga khususnya di sebelah kiri, membolehkan Mario mudah menyusup dan membuat sentuhan penyudah yang memusnahkan harapan skuad Belandan itu.

Sementara itu, gol tunggal Belanda dijaringkan penyerang sensasi Arsenal, Robbie Van Persie pada minit ke-73, apabila mendapat bola dari tepi, terus membuat larian solo ke tengah sebelum melepas rembatan kaki kanan ke gawang gol.

Dengan kemenangan tersebut, Jerman hampir layak ke suku akhir dan memerlukan keputusan seri dengan Denmark untuk menjamin kedudukan selesa ke peringkat seterusnya. Jerman mengumpul enam mata setakat ini.

Sementara itu, dalam perlawanan awal pagi tadi, Belanda dilihat lebih banyak menguasai permainan khususnya pada separuh pertama, dengan gerakan pantas dan serangan balas, tetapi gagal membuat penyudahnya.

Antara peluang terbaik Belanda untuk mendahului Jerman muncul pada minit ke 6, apabila Van Persie yang mendapat umpanan dari rakannya dan berjaya melepasi perangkap 'outside', terus merembat, tetapi berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gol Jerman Manuel Neuer.

Belanda berhempas pulas untuk mendapat jaringan dalam separuh masa kedua, dengan beberapa percubaan pemain tengah Bayern Munich Arjen Robben tetapi tendangannya ditangkap kemas oleh Neuer atau tersasar jauh dari gawang.

Peluang terbaik untuk Belanda ialah rembatan penyerang Klaas Jan Huntalar - yang menggantikan Ibrahim Affalay - pada minit ke-57, tetapi tersasar beberapa inci sahaja dari kiri pintu gol Jerman.

Manakala sepakan lencong 'playmaker' Belanda, Wesley Schneijder pada minit ke-61 tersasar keluar dari kiri pintu gol, walaupun Neuer sudah tertewas.


Gerakan dan serangan Jerman juga tidak kurang hebatnya, apabila beberapa serangan yang diatur oleh Sami Khedira yang bermain 'one two' dengan rakannya, hampir sahaja membuatkan Marteen Stekelenburg mengutip bola di gawang buat kali ketiga.

Sebelum itu, percubaan daripada pemain pertahanan Mats Hummel pada minit ke-51 yang membuat gerakan cantik ke kotak penalti, ditepis oleh Marteen.

Pada minit akhir perlawanan, penyerang gantian, Miroslav Klose, yang mencabar Marteen yang menerima tolakan bola ke belakang oleh pemain pertahanan, hampir sahaja menjaringkan gol.

Perebutan bola itu dengan Marteen menyebabkan bola itu meniti keluar, beberapa inci daripada pintu gol Belanda.

Dengan kemenangan itu, Jerman mengutip enam mata, Denmark dan Portugal masing-masing tiga mata, dan Belanda masih gagal memungut sebarang mata.

Jerman akan menentang Denmark di Lviv, Ukraine pada 18 Jun ini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...