Khamis, 28 Jun 2012

Dua permainan terhebat disatukan dalam Street Fighter X Tekken

SEMENJAK kejayaan besar dikecapi melalui siri Street Fighter pada tahun 1987, sekuel permainan keluaran Capcom semakin diterima ramai. Bahkan, permainan video arked Street Fighter telah berubah mengikut peredaran zaman daripada Street Fighter, Street Fighter II, Street Fighter Alpha, Street Fighter EX, Street Fighter Versus, Street Fighter III dan Street Fighter IV.

Dilancarkan pada tahun 1994, Tekken juga berjaya menarik minat komuniti penggemar permainan video apabila mempunyai konsep seakan-akan Street Fighter.

Terbaharu, pada 9 Mac 2012 Capcom telah mengambil inisiatif menggabungkan kedua-dua francais itu dalam satu tajuk, Street Fighter X Tekken. Ia boleh didapati pada konsol PlayStation 3 dan juga Xbox 360.

Plot

Plot cerita dalam Street Fighter X Tekken bermula dengan konflik antara kedua-dua dunia Street Fighter dan Tekken. Sebuah objek kubik misteri dilaporkan telah terhempas di Antartika dan ia memberi kuasa kepada pahlawan yang sedang bertempur.

Justeru, objek tersebut dipanggil Pandora dan disebabkan kuasa dimilikinya, ramai pahlawan berebut untuk mendapatkan Pandora.

Watak-watak lain pula mempunyai plot yang sama seperti siri-siri sebelumnya. Bagaimanapun, watak-watak terkenal seperti Ryu, Ken, Kazuya dan Nina mempunyai plot yang sedikit berbeza berbanding sebelum ini.

Mekanisme permainan

Mekanisme permainan Street Fighter X Tekken masih sama dengan siri Street Fighter IV, malah pergerakan watak adalah lebih pantas.

Pemain dibenarkan untuk memilih dua pahlawan pada permulaan mod arked dan pilihan itu adalah tidak terhad kepada pahlawan daripada francais sama.

Ia bermaksud pemain boleh memilih mana-mana pahlawan termasuk daripada Tekken ataupun Street Fighter.

Sebelum ini, Street Fighter memerlukan kedua-dua pahlawan untuk tewas sebelum pemenang boleh diumumkan.

Dalam Street Fighter X Tekken, pemain akan dikira pemenang untuk pusingan tersebut, jika berjaya menumpaskan salah seorang daripada pahlawan pihak musuh.

Akibatnya, pemain kini harus lebih berhati-hati dalam menyusun strategi serangan.

Setiap serangan yang berjaya dilakukan oleh pemain akan memenuhkan meter Cross Gauge pada bahagian bawah skrin yang boleh digunakan kelak untuk serangan lebih kuat.

Konsep mod dalam talian adalah sama, pemain boleh bergabung dengan seorang lagi pemain untuk bertempur dengan dua orang pemain pada satu-satu masa.

STREET Fighter X Tekken kini boleh dimainkan pada konsol PlayStation 3 dan Xbox 360.

Serangan khas dan penukaran pahlawan

Antara serangan khas yang boleh dilakukan ialah EX Attacks, Cancels, Super Arts dan Cross.

Setiap serangan adalah unik bagi pahlawan dan penggunaan serangan ini akan menggunakan Cross Gauge pemain.

Terdapat beberapa pergerakan berbeza untuk Cross, termasuk Cross Rush dan Cross Arts.

Cross Rush akan membuat pihak musuh ke udara, membolehkan combo usulan oleh pahlawan yang ditukar masuk.

Cross Arts pula akan membolehkan kedua-dua pahlawan pemain untuk bertempur secara serentak, tetapi Cross Arts memerlukan Cross Gauge yang penuh untuk digunakan.

Mod Pandora

Antara mekanisme permainan yang sangat menarik dalam Street Fighter X Tekken ialah mod Pandora.

Mod Pandora akan mengorbankan seorang pahlawan pemain untuk membolehkan satu lagi pahlawan pemain untuk menggunakan kuasa Pandora.

Walaupun mod Pandora menjanjikan kuasa yang berlipat ganda, pemain yang menggunakan mod itu haruslah pantas dalam menumpaskan pihak lawan kerana apabila counter Pandora mod tamat, pemain akan tewas dengan serta-merta.

Pahlawan yang menggunakan mod Pandora akan mengeluarkan cahaya biru pada mata mereka.

Secara keseluruhan, Street Fighter X Tekken mempunyai mekanisme permainan yang sangat dinamik dan pantas.
Street Fighter X Tekken

Pemain akan sentiasa dicabar dengan pergerakan pihak musuh dan grafik yang berlandaskan Street Fighter IV. Ia menjanjikan kepuasan dari segi grafik ditawarkan kepada pemain.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...