Selasa, 29 November 2011

Sony Ericsson Xperia Mini - Mini tapi comel

SEJAK kebelakangan ini, semua saiz telefon pintar menjangkau hingga 14 sentimeter. Boleh dikatakan ramai yang berminat mendapatkan telefon besar tapi apa salahnya kalau cuba membeli peranti comel molek seperti Sony Xperia Mini.
Model Sony Ericsson ini dikhabarkan peranti Android terkecil di dunia yang direka khas dengan kemampuan rakaman video HD mengagumkan.

Didatangkan dengan kesediaan 16 aplikasi sudah terbina di skrin utama anda, ia menyepadukan teknologi imej dan paparan terbaik dalam kelasnya daripada Sony, termasuk Paparan Realiti dengan enjin mudah alih BRAVIA dan rakaman video HD (720p).

Belum cukup dengan ciri mewah, telefon yang mempunyai rekaan papan kekunci lungsur itu tampil dengan kemudahan membaca e-mel pada bila-bila masa dan berupaya membuka kebanyakan dokumen terus ke peranti.

Baiklah, seperti yang diperkatakan pada awal tadi, Xperia Mini menggunakan Android terbaru versi 2.3 jadi anda tidak akan rasa ketinggalan walaupun pada skrin bersaiz 7.5sm.

Tidak dinafikan, penguji mula terpegun dengan ‘kecomelan’ mini dengan saiz cukup sekadar 88 mm (tinggi), 52mm (lebar) dan 16 mm (tebal).

Saiznya yang kompak dengan asas pembinaan kukuh memberi kepercayaan kepada si pemakai agar tidak risau jika terjatuh.

Anda berpeluang menguji peranti berwarna hitam dan mendapati skrin sesentuh bersaiz tiga inci memaparkan lebih 16.7 juta warna dengan resolusi 320 x 480 piksel menyerlahkan kualiti imej serta teks.

Tarikan utama Sony Ericsson Xperia mini terletak pada keupayaan antaramuka panelnya yang memberikan pilihan santai atau serius termasuk aktiviti kerja atau laman sosial dimuatkan pada skrin depan.

Kalau anda berada di luar, eloklah menukar skrin ke laman sosial bagi berkomunikasi dengan rakan seperti Twitter atau Facebook yang pantas diakses
Sementara itu, panel dipaparkan di bahagian tengah membolehkan pengguna memilih ‘widget’ seperti jam, cuaca atau laman web tertentu.

Terdapat beberapa butang maya navigasi lain di permukaan telefon termasuk butang menjawab atau menutup panggilan yang berfungsi dalam bentuk animasi
Bagi mengakses papan kekunci, pengguna perlu melungsurkan skrin ke kanan secara digital bagi membenarkan mekanisme dilaksanakan dengan sempurna.

Sony Ericsson menawarkan pengalaman ergonomik apabila menggunakan papan kekunci menyamai saiz butang telefon kecil tapi ia sedikit menjengkelkan kerana jari penguji agak besar untuk menaip teks yang panjang.

Akibatnya, penguji kerap kali tersalah menaip ayat yang memberi makna berlainan.

Pengguna akan mendapati port USB di sebelah kiri dan penetapan suara di sebelah kanan sementara pengaktifan kamera beresolusi 5.0 megapiksel di bahagian bawah kanan dengan port fon telinga 3.5mm di ruang atas.

Cuma slot microSD memerlukan anda membuka bateri kerana ia terletak di bahagian belakang dan situasi ini sedikit menjengkelkan.

Selain beroperasi dengan Android, peranti ini turut menyokong teknologi kesepaduan emel tolakan bagi mesej pantas serta sambungan kepada Outlook, kalendar atau hubungan.

Untuk mendapatkan sambungan Internet pula, Mini menyediakan sambungan WiFi atau 3G selain menyokong rangkaian UMTS/HSDPA 850/1900/2100.

Secara keseluruhannya, Sony Ericsson Xperia Mini adalah peranti hebat dengan purata ketahanan bateri sehingga sehari suntuk jika penggunaan biasa dilakukan walaupun ia memiliki pelbagai ciri.

Harganya pun boleh tahan iaitu hanya RM699 membuatkan pengguna gatal tangan mahu mendapatkannya!

SPESIFIKASI:

PRODUK: Sony Ericsson Xperia Mini
HARGA: RM699
PENGELUAR: Sony Ericsson
PERTANYAN: Sony Ericsson Malaysia
TELEFON: 1800-88-9900
LAMAN WEB: www.sonyericsson.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...