Isnin, 23 Januari 2012

Jimat kuasa bersama Acer Aspire S3

Lebih ringan dan nipis menjadikan Acer Aspire S3 pilihan utama bagi mereka yang bergerak aktif.

DIREKA bagi memenuhi keperluan para pengguna komputer riba moden yang sentiasa ingin memaksimumkan masa dan usaha di mana sahaja, Acer kini memperkenalkan Aspire S3 Utrabook yang terbaru.

Menawarkan gabungan kuasa dan produktiviti sebuah komputer riba bersama ciri-ciri penting telefon pintar dan tablet PC seperti pantas untuk dihidupkan dan kepantasan sambungan Internet.

Menurut Pengurus Besar Acer Sales Services Sdn. Bhd., Ricky Tan, pihaknya komited untuk terus membuat penyelidikan dan pembangunan reka bentuk yang inovatif serta ekopintar.

"Ia bertujuan bagi memenuhi kehendak pengguna serta menyumbang ke arah pasaran komputer riba yang lebih sihat.

"Acer Aspire S3 Ultrabook dijangka menerajui momentum pertumbuhan baru bagi komputer riba Acer ketika kami berusaha untuk menawarkan kepada pelanggan pelbagai rangkaian produk bergerak yang dilengkapi dengan pelbagai teknologi menarik dan terkini," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Aspire S3 Utrabook di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Aspire S3 menampilkan dua inovasi terbaru iaitu Acer Green Instant On yang menawarkan maklum balas yang sangat pantas bagi memberikan pengalaman 'permulaan dan penggunaan secara segera'.

Teknologi tersebut memiliki dua mod tidur (sleep) yang membolehkan Acer Aspire S3 kembali dioperasikan dalam masa yang singkat.

Bagi mod Sleep Acer Aspire S3 akan dihidupkan semula dalam tempoh kurang dua saat sementara dalam mod Deep Sleep pula ia boleh kembali dihidupkan dalam masa enam saat sahaja.

Inovasi kecekapan tenaga ini memastikan bateri dapat bertahan sehingga tujuh jam lamanya sewaktu beroperasi dan bateri mampu bertahan sehingga 50 hari jika berada didalam mod Deep Sleep.

Seterusnya, ciri Acer Instant Connect pula membolehkan pengguna untuk mengakses Internet dalam masa hanya 2.5 saat iaitu empat kali lebih laju berbanding dengan sambungan Internet konvensional.

Kuasa Aspire S3 dijana oleh pemproses Intel Core generasi kedua termasuklah inovasi Instant On dan Instant Connect di samping hanya seberat 1.4 kilogram (kg) dan senipis 13 milimeter (mm).

Reka bentuk Aspire S3 yang lebih aerodinamik juga menampilkan kerangka aluminium atau aloi magnesium yang ringan di samping dilindungi dengan satu lapisan kemasan logam yang licin.

Pengguna boleh memilih storan bermula dari 320 GB HDD untuk tujuan akses yang ultra pantas, storan media serta data yang besar.

Dilengkapi dengan Dolby Home Theater v4 yang ditala secara profesional, Aspire S3 memberikan kesan bunyi sekeliling yang lebih bertenaga.
Aspire S3 ditawarkan pada kadar harga RM2,599 dan boleh didapati di semua wakil penjual yang sah, untuk maklumat lanjut layari laman web Acer di www.acer.com.my atau hubungi Acer Product Infoline di talian 1800-88-1288.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...