KEPADA peminat produk Apple Inc yang menunggu kemunculan iPhone 5 pastinya kecewa selepas syarikat itu hanya mengumumkan model iPhone 4 yang dipertingkatkan untuk pasaran global bulan ini.
Bagaimanapun, dengan beberapa ciri baru yang diketengahkan menerusi iPhone 4S, peminat setia produk itu tidak seharusnya terlalu kecewa kerana Apple menggunakan prosesor lebih bertenaga untuk sistem pemprosesan lebih pantas.
Model terbaru ini menggunakan cip A5 dua teras yang mampu menawarkan prestasi kuasa pemprosesan dua kali ganda lebih laju dan penyampaian grafik tujuh kali ganda lebih pantas berbanding sebelumnya.
Malah, cip A5 dua teras yang digunakan mampu memberikan tindak balas lebih cekap dan cepat, sehinggakan perbezaan ketika aplikasi dibuka atau pelayaran internet dilakukan tidak dirasai.
Kebimbangan kuasa bateri iPhone 4S akan kehabisan tidak timbul apabila cip yang menggunakan kurang tenaga itu disokong sistem operasi IOS 5 yang mampu menguruskan sistem bateri binaan dalamannya dengan lebih berkesan.
Harga iPhone 4S di Malaysia.
Sehubungan itu, anda boleh terus membuat panggilan, menyemak e-mel, memainkan video dan melayari internet dengan lebih lama.
iPhone 4S juga didatangkan dengan ciri kamera yang dipertingkatkan kepada 8 megapiksel bersama sistem fokus automatik, flash, lensa bukaan f/2.4 dan pengesan CMOS lampu belakang bagi membenarkan penerima 73 peratus cahaya berbanding model sebelumnya.
Menurut Apple, kamera baru pada iPhone 4S mampu beroperasi 33 peratus lebih laju berbanding kamera pada iPhone 4. Ciri penapis IR hibrid pada model terbaru iPhone itu memastikan ketetapan warna imej yang diambil sama seperti gambar asal yang dirakamkan.
Reka bentuk dan saiz iPhone 4S adalah serupa dengan iPhone 4 kecuali beratnya yang bertambah sebanyak lima gram.
Apple juga menampilkan sistem dwi antena pada iPhone 4S bagi meningkatkan kualiti panggilan dan mengatasi kelemahan yang menghantui model sebelumnya.
Satu ciri menarik yang dilengkapi pada iPhone 4S adalah aplikasi “pembantu peribadi” yang dikenali sebagai Siri yang membolehkan anda memberi arahan suara untuk iPhone melaksanakan tugas seperti penghantaran pesanan ringkas, e-mel, peringatan jadual mesyuarat , penggera dan membuat panggilan.
Walaupun ia masih di dalam format Beta, teknologi yang pada awalnya sebahagian daripada program “Personal Assistant that Learns” oleh Defense Advanced Research Projects Agency (DARPA) itu masih mampu menerima arahan percakapan anda, memahaminya dan memberikan maklum balas setiap tugasan yang diberikan.
Selepas ini, usah berasa pelik apabila melihat pemilik iPhone 4S akan lebih banyak bercakap dengan telefon masing-masing daripada menyentuh skrinnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan