Tami Reller
KALI terakhir sistem operasi (OS) Windows bertukar wajah secara drastik ketika peralihan Windows 3.1 kepada Windows 95 yang menghasilkan penampilan berbeza antara kedua-duanya.
Sejak itu, versi OS berikutnya nampak sama walaupun mengalami perubahan dari semasa ke semasa.
Jika program Windows 3.1 dikumpulkan dalam kotak yang kemudiannya bertukar kepada Windows 95, butang ‘Start’ antara ciri baru diperkenalkan ketika menyenaraikan program dalam komputer di bawah satu senarai mudah lihat diletakkan di ruang bawah kiri antaramuka komputer peribadi (PC).
Selepas seabad, Microsoft sekali lagi mengambil langkah untuk menukar penampilan sistem operasi terbarunya, Windows 8, yang pada amnya memang berbeza daripada versi Windows sebelumnya.
Windows direka semula
Dalam ucaptama di Pameran Elektronik Pengguna (CES) 2012 baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Steve Ballmer berkata, Microsoft merancang OS Windows 8 untuk digunakan khas oleh komputer dan tablet yang menghasilkan penampilan berlainan yang tidak pernah dibayangkan pengguna sebelum ini.
Walau bagaimanapun, ia akan dioptimumkan mengikut jenis peranti yang digunakan.
“Namun, versi Windows 8 bukan hanya versi Windows yang seterusnya,” kata Tami Reller, Ketua Pegawai Pemasaran untuk Windows yang menunjukkan sistem operasi baru itu ketika ucaptama Ballmer.
“OS baru yang dipertontonkan kali ini adalah satu cara pemikiran baru mengenai PC dan ia direka untuk memberi satu pengalaman tanpa kompromi.
“Ia membolehkan potensi tablet digabungkan dengan kuasa PC,” katanya.
Metro UI
Memang jelas penggunaan Windows 8 lebih berbeza daripada sistem operasi sebelumnya, Windows 7, tetapi ia mungkin cepat dikenali pengguna telefon bimbit terlebih dulu apabila ia beroperasi sebagai Windows Phone.
Hal ini memandangkan OS Windows 8 berdasarkan antaramuka Metro (Metro UI) yang mulanya digunakan dalam Windows Phone sebelum ini.
Metro UI menjadi salah satu ciri yang penting terletak di pertengahan sistem operasi baru Windows 8 antara PC dan telefon pintar. Sistem ini menunjukkan maklumat yang penting kepada pengguna selain tipografi dan animasi yang intuitif.
Ia juga memang direka untuk operasi sentuhan tetapi Windows 8 seharusnya boleh digunakan bersama papan kekunci dan tetikus seperti biasa.
Ciri Windows 8
Pertama, lagi banyak maklumat dapat dilihat dalam Lock Screen seperti jumlah e-mel baru, tarikh dan masa serta data lain tanpa perlu login dan memasuki skrin utama Windows 8.
Sebagai bandingan, Windows 7 hanya menunjukkan kata nama, gambar kecil dan ruang untuk menaip kata laluan saja.
Microsoft juga menambah kaedah pengguna boleh sebaik ia membuka kunci (unlock) Windows 8. Kini, sekeping gambar boleh dipaparkan dan pengguna hanya perlu menyentuh beberapa titik dalam gambar terbabit sebagai kata laluan sebelum membuka telefon terbabit.
Selepas memasuki Windows, apa yang akan dilihat pada skrin permulaan adalah beberapa kotak atau “tiles” yang mewakili aplikasi tertentu atau kandungan yang penting seperti ditetapkan pengguna terbabit. Kotak terbabit boleh jadi aplikasi pintasan kepada ciri kegemaran dalam antaramula seperti laman web atau album gambar.
Skrin permulaan ini direka sebagai titik permulaan dalam pengalaman menggunakan Windows dan kotak di skrin dapat menunjukkan maklumat terkini tanpa keperluan membuka program terbabit.
“Tidak kira berapa besar skrin anda, apa yang diperlukan akan dipaparkan,” kata Reller.
Dalam OS Windows 8, seluruh skrin digunakan untuk aplikasi dan menu bar disorok dan hanya dapat dilihat apabila pengguna menyentuh (swipe) bahagian tepi skrin.
Jika pengguna menyentuh bahagian kanan skrin, ciri yang dipanggil Charms akan terpapar. Ciri ini membolehkan pengguna memilih jalan pintas untuk cetak, salin dan sebagainya.
Contohnya, kemudahan Share Charm memperuntukkan satu lokasi untuk berkongsi gambar dengan aplikasi tertentu yang menyokongnya.
“Charm menghubungkan satu aplikasi kepada aplikasi atau peranti yang lain,” kata Feller.
Microsoft juga mencipta ciri lebih senang untuk bertukar antara satu aplikasi dengan yang lain. Pengguna hanya perlu menyentuh skrin dan meleretkan jari dari kanan ke kiri atau kiri ke kanan untuk membuka aplikasi berikutnya.
Ciri Windows 8 lain
Papan kekunci sentuhan (touch keyboard).
Untuk tablet, papan kekunci sentuhan akan ditunjukkan seperti biasa tetapi ia juga boleh dibahagi dua untuk mereka yang suka menaip menggunakan ibu jari sambil memegang tablet.
Cara menutup aplikasi
Untuk menutup program atau aplikasi, ia hanya perlu leretkan jari ke bahagian bawah skrin. Walau bagaimanapun, pengguna masih boleh menutup aplikasi secara tradisional, iaitu menekan butang Alt-F4 sekali gus.
Task Manager yang baru
Aplikasi yang tidak diguna akan ditangguh (suspend) dan tidak akan menggunakan kuasa unit pemprosesan komputer (CPU). Ia bermakna ciri terbabit tidak akan memberi kesan kepada kuasa bateri. Sekali gus, ia bermakna aplikasi tidak perlu ditutup jika tidak digunakan.
Lagi banyak pilihan
Reller juga memberitahu Windows 8 boleh digunakan dengan peranti yang menggunakan prosesor x86 dan ARM.
“Ia membolehkan lebih banyak PC dan tablet disediakan dan memberi pilihan luas dan fleksibel kepada pembeli,” katanya.
Menurut Reller, isu paling penting dalam perubahan kepada teknologi baru ini ialah kesediaan komputer yang menggunakan Windows 7 berubah kepada Windows 8 tidak lama lagi.
Bagi Pengarah Pemasaran Dunia, Kumpulan Produk Lenovo, Michael Littler, Windows 8 dikhabarkan mengujakan pengeluar apabila ia menjadi perisian yang sempurna dan dapat memberi satu pengalaman hebat kepada penggunanya.
“Ia akan memberi peluang kepada pengilang komputer untuk menawarkan pelbagai jenis komputer seperti desktop, notebook dan ultrabook serta tablet dan komputer hibrid atau laptop yang boleh digunakan sebagai tablet,” katanya.
Microsoft Windows 8 kini masih di peringkat versi Developer Preview tapi versi Beta akan disediakan pada akhir Februari nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan