Rabu, 9 Januari 2013

Samsung Galaxy Note II terjual 1 juta unit di Korea

Samsung Galaxy Note II 5.5 inci, telefon bimbit bersaiz besar mencetus fenomena baru apabila sejumlah sejuta unit di jual di Korea dalam tempoh 90 hari selepas pelancaran.
Kejayaan Galaxy Note asal yang dilancarkan pada 2011 dan penggantinya, Galaxy Note II yang dilancarkan pada September lalu adalah bukti bahawa perkataan ‘phablet’ akan wujud tidak lama lagi.

Ia hanya mengambil masa kurang 60 hari untuk syarikat itu menjual lima juta telefon bimbit bersaiz besar itu di peringkat global dan Samsung kini mendakwa sudah melepasi angka jualan sejuta di pasaran Korea Selatan saja, selepas telefon itu dijual selama 90 hari.

Angka itu membuktikan bahawa adalah jelas terdapat pasaran bagi telefon bimbit dengan skrin yang lebih besar dan setakat ini Samsung menguasai penuh pasaran itu.

Untuk memastikan ia sentiasa di depan dalam persaingan yang baru muncul, Samsung sendiri dikhabarkan akan membangunkan Galaxy Note III 6.3 inci untuk menggantikan model semasa, dan bersedia untuk menjarakkan antara kategori telefon pintar dan tablet.

Phablet terbaru itu dijangka dipamerkan pada Februari ini di World Mobile Congress di Barcelona.

INFO: Samsung Galaxy Note II

5 juta unit - jualan global dalam tempoh dua bulan


Isnin, 7 Januari 2013

AndaTube Membolehkan Pengguna Menonton Dan Memuat-Turun Video YouTube Pada Windows 8

Terdapat beberapa aplikasi untuk Windows 8 yang menawarkan memainkan video terus daripada YouTube, dan salah satu yang terkini dengan beberapa fungsi menarik adalah aplikasi AndaTube.

AndaTube ini lebih kepada membolehkan pengguna mendengar lagu daripada YouTube dengan mudah pada komputer mereka, selain membolehkan pengguna memuat-turun video untuk koleksi sebagai tontonan di luar talian internet dengan mudah.

AndaTube juga mengintegrasikan sesuatu video yang dimainkan terus ke pemain lagu, sekaligus membolehkan pengguna terus mendengarnya walaupun keluar daripada aplikasi berkenaan, mengakses desktop dan sebagainya.

AndaTube boleh dimuat-turun di Windows Store. AndaTube

DiGi Mula Menjual LG Nexus 4 Pada Harga Bermula RM1499

Pihak DiGi telah pun mula menawarkan telefon pintar LG Nexus 4 untuk para pengguna tempatan, pada harga serendah RM1499 dengan komitmen bulanan dan pilihan pakej daripada DiGi.

Harga LG Nexus 4 di Malaysia adalah RM1649, dan masih tidak diketahui sama ada pengedar dan penjual yang lain akan menawarkannya ataupun sebaliknya.

Dengan DiGi, ia memerlukan pengguna melanggan pelan bulanan dengan komitmen sebanyak RM63 selama 24 bulan untuk membolehkan pengguna mendapatkan peranti tersebut pada harga RM1499.

LG Nexus 4 membawakan skrin bersaiz 4.7-inci, dan dilengkapi dengan cip pemprosesan empat-teras 1.5GHz Krait, selain dilengkapi kamera 8-megapixel. Ramai yang menantikan telefon pintar berjenama Nexus ini memandangkan ia akan menerima kemaskini Android terus daripada pihak Google terlebih dahulu sebelum pelbagai peranti yang lain di pasaran.

NVIDIA Mengumumkan Tegra 4 Secara Rasminya

Di CES 2013, hari ini, NVIDIA mengumumkan secara rasminya cip pemprosesan untuk peranti mudah-alih terbaru daripada mereka – NVIDIA Tegra 4.
NVIDIA Tegra 4 dianggap sebagai cip pemprosesan paling pantas di dunia buat masa ini, dimana membawakan 72-teras GPU, CPU A15 empat-teras, dan juga sokongan 4G LTE terbina padanya. NVIDIA Tegra 4 beroperasi lebih pantas berbanding cip Tegra 3 terdahulu, pihak NVIDIA juga mengatakan tenaga bateri dapat digunakan ketahap optima dengan cip tersebut.

Pihak NVIDIA juga mendemonstrasikan serta membandingkan tablet yang dikuasakan dengan NVIDIA Tegra 4 dengan tablet terbaru Samsung, iaitu Nexus 10. NVIDIA Tegra 4 berjaya membuka lebih 25 halaman web dalam tempoh hanya 10.50 saat, berbanding dengan Nexus 10 yang menghampiri 50 saat.
Selain daripada kepantasan penggunaan dan juga pelayaran web, NVIDIA Tegra 4 juga turut menyertakan sokongan merakamkan gambar dalam bentuk HDR, sekaligus membawakan rakaman gambar yang lebih jelas.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...