Ahad, 5 Ogos 2012

Ultrabook Acer Aspire S5

SEIRING perkembangan dunia pengkomputeran moden, banyak syarikat teknologi semakin memberi tumpuan kepada pembangunan produk komputer riba ultra (ultrabook).

Tidak ketinggalan, Acer Malaysia juga ingin melengkapkan rangkaian produk Ultrabook mereka menerusi pengenalan model terbaru Ultrabook Acer Aspire S5.

Direka dengan ciri unik, nipis iaitu hanya 11 milimeter (mm) dan berat 1.2 kilogram (kg), ia dicipta khusus untuk pelaksanaan fungsi hiburan dan tugasan harian secara mudah alih.

Ultrabook Acer Aspire S5 didatangkan dengan kelebihan respons pantas sekitar 1.5 saat untuk diaktifkan atau dihidupkan semula (resume) menerusi teknologi Acer Green Instant On.

Lebih mengujakan, sebaik dihidupkan, peranti itu hanya mengambil masa 2.5 saat untuk mengesan sambungan Internet secara automatik bagi proses mengemaskini laman web dan e-mel.

Sesuatu yang baru diperkenalkan Acer melalui model ini adalah pelancar MagicFlip pada bahagian belakang peranti di mana ia boleh dikeluarkan untuk membuka slot-slot input dan output.

Hanya menekan satu butang khas, slot seperti HDMI, USB 3.0, bacaan kad memori serta Ultrafast Thunderbolt akan terbuka dan sedia digunakan.

Bagi teknologi Ultrafast Thunderbolt pula, ia merupakan medium pindahan data pantas dengan keupayaan 20 kali lebih cepat berbanding platform USB 2.0.

Daripada segi binaan, model utama dalam rangkaian Aspire ini hadir dengan reka bentuk ergonomik dan kemasan metaliknya mampu memberi gaya elegan kepada pengguna.

Kelebihan lain model itu, ia tersedia bersama teknologi Acer Instant Connect untuk pengurusan peranti multimedia pelbagai dan Acer Theft Shield Software bagi fungsi sekuriti.

Untuk segala kecemerlangan itu, Ultrabook Acer Aspire S5 kini boleh diperolehi dengan tawaran harga pasaran RM3,499.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...