Isnin, 23 Januari 2012

Televisyen pintar mesra pengguna CINEMA 3D Smart TV.

Biarpun kemunculan televisyen pintar di pasaran masih diperingkat baru namun ia tidak menghalang syarikat pengeluar untuk terus menghasilkan produk tersebut dengan lebih berinovasi.
Dilengkapi dengan pelbagai aplikasi untuk kemudahan pengguna, syarikat terkemuka barangan elektrik, LG Electronics (LG) memperkenalkan televisyen pintar terbaru mereka yang dikenali sebagai Cinema 3D Smart TV untuk pasaran tahun 2012.

Menurut Presiden LG, Havis Kwon, pihaknya menghasilkan serta menambah ciri-ciri baru, menaik taraf televisyen pintar sedia ada bagi menghasilkan produk yang dapat diyakini dipasaran.

"Fungsi dan ciri-ciri yang diperkenalkan bagi tahun 2012 saya percaya dapat memberikan pengalaman yang menarik dan sesuatu yang baru bagi pemilik televisyen pintar ini.
"Selain daripada dapat menyaksikan lebih banyak filem dan program televisyen, pengguna juga boleh mengakses perkhidmatan jaringan sosial (SNS) melalui televisyen pintar LG mereka," katanya.

Jelas Havis Kwon lagi, malah pengguna juga boleh melakukan aktiviti sampingan lain seperti menderma kepada persatuan kebajikan serta boleh melihat koleksi seni.

Bagi zon 3D, LG menawarkan koleksi filem 3D dan program televisyen manakala filem 2D yang sedia ada juga boleh ditukarkan kepada filem 3D melalui televisyen pintar LG ini.

Penggunaan teknologi Film Patterned Retarder (FPR) juga menjadikan kaca 3D LG tidak memerlukan bateri berasingan, malah ia lebih ringan dan murah menjadikan tontonan filem 3D dapat disaksikan didalam kumpulan yang besar dan pada masa yang agak lama.


Selain itu, penggunaan aplikasi Magic Remote seperti aplikasi pengenalan suara dimana pengguna hanya perlu menyampaikan arahan melalui suara untuk membuat carian melalui televisyen tersebut.
Manakala aplikasi Wheel memudahkan pengguna membuat pilihan menu dan aplikasi dengan lebih pantas.
Di tambah dengan aplikasi Magic Gesture memudahkan pengguna melakukan pelbagai arahan melalui sentuhan fizikal.

Terakhir, aplikasi Pointing yang memudahkan pengguna membuat pilihan pada skrin dengan lebih mudah, ringkas dan pantas tanpa menekan butang berulang kali.


Televisyen pintar Cinema 3D LG ini juga menawarkan pelbagai pilihan aplikasi sambungan antaranya adalah teknologi Intel's Wireless Display (WiDi) yang menyambungkan televisyen kepada komputer tanpa menggunakan wayar mahupun akses Internet.

Melalui aplikasi Smart Share Plus, pengguna boleh mengakses maklumat yang disimpan dalam komputer, tablet dan telefon pintar.

Aplikasi tersebut turut menawarkan perkongsian skrin antara siaran televisyen bersama paparan dalam menerusi sambungan Wi-fi, untuk maklumat lanjut berkenaan televisyen pintar Cinema 3D LG ini, anda boleh melayari laman web LG di www.lg.com.

Pejabat Megaupload.com diserbu

SEBUAH pelayan komputer milik Megaupload ditemui di sebuah bilik hotel di Hong Kong kelmarin.

HONG KONG - Sepasukan anggota kastam Hong Kong menyerbu beberapa pejabat, premis tempatan dan suit hotel mewah di sini dalam siasatan ke atas laman perkongsian fail Internet, Megaupload.com.

Siasatan berkenaan yang dilakukan di seluruh dunia dikendalikan oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Seramai 100 anggota kastam menyertai serbuan di sini kelmarin dan merampas sebahagian besar bukti digital selain aset haram mencecah HK$330 juta (RM130.4 juta).

"Semua aset ini dibeku kan di bawah undang-undang Hong Kong. Operasi kami masih diteruskan," kata pihak kastam Hong Kong dalam satu kenyataan.

Dalam operasi berkenaan, pihak berkuasa turut menyerbu beberapa suit hotel mewah yang kadar sewanya HK$100,000 (RM40,010) sehari dan menemui beberapa pelayan berkelajuan tinggi dan skrin televisyen yang disyaki memiliki kaitan dengan kes berkenaan.

Serbuan dibuat susulan penutupan Megaupload.com oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) Khamis lalu selepas laman web itu didakwa terbabit dalam aktiviti cetak rompak dan pelanggaran hak cipta.

Pengasas laman Megaupload.com, Kim Dotcom yang juga dikenali sebagai Kim Schmitz kini ditahan di New Zealand selepas polis menyerbu kediamannya di negara itu.


Warga Jerman berusia 37 tahun itu yang memiliki status penduduk tetap New Zealand dan Hong Kong dinafikan ikat jamin bersama tiga lelaki lain semasa mereka dihadapkan di sebuah mahkamah daerah di Auckland kelmarin.

Dalam serbuan di banglo mewah yang diduduki oleh Dotcom di Auckland, polis New Zealand turut merampas beberapa kereta mewah berharga AS$4.8 juta (RM14.9 juta) termasuk sebuah Cadillac merah jambu keluaran 1959 dan sebuah kereta Rolls Royce Phantom.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Kehakiman AS dan FBI telah mendakwa tujuh individu yang dituduh "bertanggungjawab melakukan aktiviti cetak rompak besar-besaran secara atas talian menerusi Megaupload.com dan beberapa laman web berkaitan".

Megaupload menyebabkan kerugian lebih AS$500 juta (RM1.55 bilion) kepada pemilik-pemilik hak cipta dengan menawarkan salinan cetak rompak filem, program televisyen dan kandungan lain.

Ia adalah antara laman web perkongsian fail paling popular di dunia dengan mencatatkan sekitar 50 juta pengguna setiap hari. - AFP

Rabu, 30 November 2011

Tablet HP Slate 2 Dengan Windows 7 Bakal Mula Dijual Pada Pertengahan Disember Di Malaysia

Dengan dunia tablet yang semakin berkembang luas, HP turut sama telah menyertainya, dimana pada awal tahun ini, mereka telah pun memperkenalkan HP TouchPad dengan webOS, namun ia dibatalkan pengeluarannya, sekaligus para pengguna di Malaysia gagal untuk mendapatkannya. Tetapi bagi para peminat HP, kini anda boleh mendapatkan HP Slate 2 di Malaysia, yang mana didatangkan bersama-sama dengan Windows 7 padanya.
HP Slare 2 ini lebih memfokuskan kepada pengguna perniagaan, sekaligus membolehkan mereka yang menggunakan aplikasi-aplikasi pada Windows 7 membawanya dengan mudah ke tablet dan menggunakannya di mana sahaja mereka berada.

Dari segi spesifikasi, HP Slate 2 menggunakan Intel Atom Z670 dengan kepantasan operasi sehingga 1.5GHz, memori sebanyak 2GB SDRAM, ruangan storan terbina 64GB, skrin sentuh bersaiz 8.9-inci, slot USB, kamera belakang 3-megapixel, kamera hadapan VGA, dan juga masa bertahan bateri sehingga 7.5 jam.

Di Malaysia, HP Slate 2 akan dijual bermula daripada pertengahan bulan Disember ini pada harga bermula RM2299.

Tablet Dell Latitude ST Dengan Windows 7 Dilancarkan Untuk Pasaran Malaysia

Dell Malaysia hari ini telah pun melancarkan tablet mereka untuk para pengguna di pasaran mereka, sekaligus menjadi tablet kedua dilancarkan pada minggu ini yang menggunakan Windows 7 dan juga memfokuskan kepada pengguna perniagaan. Dell Latitude ST ini dijual di Malaysia pada harga RM2380.
Dell Latitude ST juga menggunakan cip pemprosesan Intel Atom, membawakan skrin sentuh seluas 10.1-inci, memori sehingga 2GB DDR2, dan didatangkan dengan kamera terbina untuk panggilan video melalui Skype, serta pengguna diberikan pilihan samada ingin menggunakan Windows 7 Home Premium, Professional ataupun Ultimate.

Review Produk: Inovasi Nokia N9

PAPARAN skrin Nokia N9 yang bersaiz 9.9 sentimeter menggunakan teknologi AMOLED.

REKA bentuk inovatif yang ditampilkan telefon pintar terbaharu Nokia N9 memenuhi keperluan penggemar peranti dengan paparan skrin luas dan tanpa butang.

Ia dibangunkan dengan menekankan aspek kemudahan dan kelancaran penggunaan, sama ada dari reka bentuk luaran atau perisian yang ditawarkan.

Model telefon pintar pertama yang menggunakan sistem operasi MeeGo 1.2 Harmattan itu hanya memerlukan pengguna menggeselkan jari mereka di atas paparan skrin sentuh untuk menikmati pelbagai aplikasi.

Dengan paparan skrin 9.9 sentimeter (sm) menggunakan teknologi AMOLED, ia dapat memberikan kepuasan kepada pengguna apabila kualiti paparan lebih jelas dan mengagumkan.

KAWALAN skrin Three Home Views membahagikan paparan kepada tiga tetingkap iaitu Applications, Open Applications dan Events.

Bagi mereka yang gemar melakukan aktiviti luar dan menggunakan telefon pintar mereka di mana-mana sahaja, fungsi skrin kalis calar tentu sekali akan memberikan kelegaan kepada pengguna.

Tetingkap

Dalam pada itu, Nokia N9 menggunakan kawalan skrin Three Home Views yang menyaksikan paparan utama dibahagi kepada tiga tingkap iaitu Applications, Open Applications dan Events.

Kesemua tetingkap itu mempunyai fungsi tersendiri apabila Applications menempatkan kesemua aplikasi, Open Applications pula bertindak sebagai tetingkap pelbagai tugasan dan Events memaklumkan notifikasi kepada pengguna.

Ciri-ciri tersebut bukan sahaja dapat memudahkan tugasan harian pengguna malah dapat memberi dimensi baharu dalam pengendalian peranti yang menjadi teman pengguna.


SPESIFIKASI
NOKIA N9
Harga: RM1,799 (16 gigabait) dan RM2,088 (64 gigabait).
Sistem operasi: MeeGo 1.2 Harmattan.
Kamera: 8 Megapiksel Carl Zeiss.
Berat: 135 Gram.
Warna: Hitam, Cyan dan Magenta.

Antara aplikasi sistem operasi MeeGo 1.2 Harmattan yang terdapat dalam peranti itu termasuk Twitter, Facebook, Skype, Angry Birds Magic dan AP Mobile.

Bagi mereka yang gemar melayari Internet, peranti tersebut dilengkapi teknologi Webkit 2 untuk memastikan pelayaran lebih lancar dan sempurna.

Ia turut didatangkan bersama kamera lapan megapiksel autofokus Carl Zeiss dan lensa pandangan luas. Kamera tersebut tidak membataskan kreativiti mengambil gambar kerana ia boleh berfungsi dengan baik walaupun dalam keadaan kurang pencahayaan.

Model terbaharu Nokia N9 dijual pada harga RM1,799 dengan kapasiti 16 gigabait (GB) manakala kapasiti 64 GB dijual pada harga RM2,088 seunit.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai peranti terbaharu ini boleh melayari laman web www.nokia.com.my.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...